Nak share artikel dari Harian Metro :)
SEMEMANGNYA susu ibu sudah diketahui ramai mengandungi semua khasiat yang diperlukan bayi.
Malah,
ia mengandungi antiviral yang tidak ada dalam susu formula, tetapi
mengapa masih ramai golongan ibu lebih gemar memberi susu formula
berbanding susu badan sendiri kepada anak mereka? Adakah disebabkan
kurang pengetahuan, ketiadaan susu, cepat berputus asa atau kesibukan
yang menjadi faktor yang mendorong ibu mengambil jalan mudah dengan
memberi susu formula kepada bayi mereka? Rata-rata hari ini golongan ibu
terutama yang bekerja menjadikan faktor kesibukan sebagai halangan
untuk memberi susu badan. Ini kerana bagi mereka menyusukan anak pada
masa tertentu seolah-olah membebankan selain tiada masa untuk memerah
susu.
Pengurus Projek Rakan Kaunselor
Penyusuan Ibu Malaysia, Nor Kamariah Mohamad Alwi, berkata golongan ibu
bekerja tidak seharusnya menjadikan faktor kesibukan kerjaya sebagai
halangan kepada penyusuan eksklusif untuk anak masing-masing.
Sebaliknya, ia masih boleh direalisasikan dengan perancangan yang
betul. Katanya, antara perancangan yang betul adalah memerah susu
secara konsisten sejak tempoh berpantang untuk mendapat bekalan
mencukupi dan menyimpannya di tempat sejuk bagi keperluan anak setiap
masa.
“Ketika pantang, biasanya ibu
boleh memberikan anak susu sendiri setiap masa, tetapi sebaik kembali
bekerja, mereka seolah-olah terus tiada masa sehingga bergantung kepada
susu formula.
“Alasan lain yang sering
diberikan ibu adalah ketiadaan susu sedangkan susu hanya akan menjadi
banyak sekiranya selalu diperah,” katanya ketika menyampaikan taklimat
mengenai penyusuan ibu untuk ibu bekerja di Astronautic Technology (M)
Sdn Bhd (ATSB).
Taklimat berlangsung selepas
melancarkan bilik menyusu di syarikat itu bersama Naib Presiden Kanan
ATSB, Norhizam Hamzah di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Menurutnya, memang ada ibu cepat
kecewa untuk menyusukan anak mereka kerana susu yang terhasil dalam
kuantiti yang sedikit. Tetapi, keadaan itu sesuatu yang normal pada
awal penyusuan kerana ia mengambil sedikit masa, pengalaman,
kesungguhan serta kesabaran tinggi sebelum seseorang ibu dapat
menghasilkan susu yang banyak.
Katanya, apa yang penting,
golongan ibu walaupun bekerja, perlu mencari masa sesuai untuk selalu
mengosongkan payudara mereka dengan cara memerah susu dan menyimpannya
dalam bekas khas yang ada di pasaran. Bekas berkenaan boleh dibawa ke
mana saja dan apabila ia dipenuhi semula dengan susu dan secara
berterusan, susu ibu akan menjadi banyak.
“Setiap bayi berhak mendapat
susu ibunya antara lapan hingga 12 kali dalam sehari, bergantung kepada
keperluannya untuk membesar dengan sihat dan cerdas.
“Paling menyedihkan, ramai ibu
terkeliru serta tidak yakin dengan susu yang dihasilkan badan mereka
sendiri. “Sebaliknya, mereka bergantung pada susu formula sedangkan
susu ibu adalah yang terbaik dan mengandungi semua khasiat serta
antiviral yang tidak wujud dalam kandungan susu formula,” katanya.
Nor Kamariah yang juga pengasas laman web susuibu.com
berkata, ramai ibu yang hanya memerah susu selepas payudara mereka
menjadi bengkak akibat menakung susu yang banyak sehingga kesakitan
sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku jika susu sentiasa
diperah.
Golongan ibu seharusnya bersabar
dan berdedikasi ketika menyusukan anak mereka kerana faedah dan kesan
positif menyusukan bayi tidak dapat dilihat pada masa singkat tetapi ia
hanya akan dirasai pada masa depan sekiranya diamalkan secara
berterusan.
Menurutnya, yang juga ibu
kepada tiga cahaya mata, ketika ini di pasaran terdapat pelbagai
kelengkapan untuk memudahkan golongan ibu memerah serta menyimpan susu
selain tempoh memerah yang hanya mengambil masa beberapa minit.
“Pemberian susu ibu penting
kerana ia bukan saja sangat berkhasiat, malah menjadi detik penting
untuk ibu dan bayi saling berhubungan.
“Selain itu, bayi membesar dengan lebih sempurna kerana khasiat susu serta perhatian yang diberikan ibunya.
“Sokongan di kalangan
masyarakat negara ini termasuk majikan penting supaya usaha memupuk
kesedaran memberikan susu ibu tidak dipandang ringan sebaliknya menjadi
satu budaya dalam kehidupan harian penduduk negara ini,” katanya.
Salam Sayang
Norul
FB Page: Ummi Tiqah
No comments:
Post a Comment